Semalam akhbar-akhbar arus perdana bahasa inggeris sibuk memaparkan di depan dada akhbar mereka yang mana bahasa inggeris adalah bahasa yang diguna pakai oleh hampir 50% anak-anak kecil di Malaysia dalam menjawab soalan sains dan matematik UPSR. Mereka juga sibuk memomok kan bahawasanya anak-anak kecil Malaysia ini menjawab dengan lebih baik dalam bahasa inggeris. Hari ini pula, terpampang di muka depan akhbar-akhbar bahasa kolonial ini, petikan-petikan kata anak-anak kecil melayu bahawasanya mereka lebih gemar untuk menjawab soalan dalam bahasa inggeris, dan mereka juga berharap agar kertas-kertas peperiksaan lain juga akan turut di inggeriskan. Hari ini, kita semua mempunyai satu pemikiran, pemikiran yang telah dipaksakan ke atas kita sejak kita di alam persekolahan, yakni sesiapa yang tidak boleh bertutur dalam bahasa inggeris, akan ketinggalan dalam arus kemodenan dan tidak mungkin akan berjaya dalam hidup. Saya mengakui ada benarnya bahasa inggeris itu penting, kerana bahasa inggeris itu telah menjadi bahasa universal, dan terlalu universal sehinggakan orang asing boleh tinggal di Malaysia selama 20-30 tahun tanpa memahami sepatah pun bahasa Malaysia. Sesuatu yang tidak mungkin terjadi di negara seperti Perancis, Rusia dan juga barangkali di Indonesia.
Sekali lagi ingin saya nyatakan, bahawa saya tidak menentang pembelajaran bahasa inggeris, tetapi saya melihat isu ini sebagai satu cebisan kecil dari drama yang lebih besar, iaitu menyah melayu kan Malaysia. Hari ini anak-anak kecil kita sedang hebat diracuni pemikiran mereka dengan hegemoni menyah melayukan Malaysia. Anak kecil adalah anak-anak yang masih tidak mengerti erti hidup, mereka akan menelan bulat-bulat segala yang di ajarkan kepada mereka, dan semakin hari, semakin banyak anak-anak kecil melayu percaya bahawasanya bahasa Malaysia itu, bukan bahasa yang akan membawa kemajuan, tetapi hanya bahasa yang diguna pakai warga-warga yang mundur, sebaliknya, bahasa inggeris, adalah bahasa moden, kini di selit-selitkan pula kepentingan bahasa mandarin. Di ketika ini, akhbar-akhbar bahasa penjajah sibuk mengadakan pertandingan bahasa inggeris, iklan-iklan tentang kepentingan bahasa inggeris dan sebagainya. Sebaliknya di pihak akhbar-akhbar bahasa nasional, saya tidak tahu apa yang mereka lakukan. Peratusan penguasaan akhbar-akhbar bahasa nasional dalam pasaran pemberitaan nasional semakin berkurangan, tetapi mereka seolah-olah tidak sedar akan fakta ini, bahkan terus-menerus memberitakan isu-isu yang remeh seperti artis kawin lari, kambing di liwat remaja, ayah pin boleh terbang dsb yang kebenaran dan tingkat pentingnya dalam membangunkan warga massa yang berilmu adalah terendah sekali. Saya juga tidak tahu apa yang dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dalam memartabatkan Bahasa Malaysia, bahasa untuk rakyat Malaysia. Saya tidak pernah terjumpa mana-mana papan tanda bangunan yang ada menyebut, ‘Dewan Bahasa Inggeris’ ataupun ‘Dewan Bahasa dan Pustaka Mandarin’, yang ada, cuma Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, yang mana tujuan penubuhan nya adalah untuk perkembangan bahasa nasional. Akan tetapi, hari ini, kita semua saksikan benda yang songsang terjadi, martabat bahasa Malaysia itu tidak jadi seperti apa ia patut jadi, bahkan bahasa Malaysia itu, sedikit demi sedikit, telah mula di ambil peranannya oleh Bahasa Inggeris bahasa penjajah laknatullah.
Sila khatan kan saya sekali lagi jika perkara yang saya katakan di atas adalah tidak benar. Kini di mana-mana sahaja kita akan menjumpai anak-anak melayu yang sudah tidak fasih bertutur dalam bahasa nasional, dan tentu sekali, warga cina dan India Malaysia yang tidak fasih bertutur dalam bahasa nasional. Bahasa komunikasi di Malaysia secara perlahan tetapi progresif, telah bertukar dari bahasa nasional ke bahasa inggeris. Ini bukanlah sesuatu yang boleh kita banggakan, ini bukanlah satu petunjuk kepada meningkatnya tahap intelek sesebuah warga negara, tetapi ini adalah satu kegagalan, kegagalan seluruh warga negara, kerana kita gagal membentuk sebuah negara Malaysia yang beridentiti, sebuah negara yang di bentuk mengikut acuan kita. Saya sudah tidak tahu, kapal yang kita nakhoda kan akan belayar kemana, apakah kita akan sampai ke destinasi kita, ataupun kita akan gugur di tengah jalan di rampas oleh lanun-lanun di teluk Aden. Apakah Malaysia kita ini, akan menjadi sebuah negara seperti yang kita inginkan, atau pun kita juga akan menerima nasib yang sama seperti saudara kita di Singapura. Sebuah negeri yang asalnya adalah Temasik, penuh identitinya, hari ini tidak lebih dari sebidang tanah di mana para cukong dari segenap pelusok dunia akan berkumpul dan menjarah kekayaan tanah-tanah di negara-negara yang lebih besar seperti negara kita, Malaysia. Beberapa bulan yang lepas, kita telah di kejutkan oleh tindakan kerajaan Pulau Pinang yang meletakkan papan nama jalan dalam berbagai-bagai bahasa. Saya amatlah kurang faham dengan tindakan dungu ini, dengan menggunakan alasan untuk kesenangan para pelancong. Apakah tidak cukup papan nama jalan dalam bahasa inggeris dan bahasa nasional? Apakah perlu untuk meletakkan papan nama dalam bahasa cina, tamil dan arab? Atau apakah ini adalah satu madah agar warga negeri Pulau Pinang itu, boleh hidup tanpa bahasa nasional? Apakah jika negeri Pulau Pinang itu suatu hari kelak dibanjiri oleh warga dari Tanzania, kita akan meletakkan papan nama jalan dalam bahasa afrika? Jika begitu, mungkin 20 tahun akan datang kita akan menjumpai papan nama jalan dalam seluruh bahasa di dunia ini termasuk bahasa makhlus asing dan halus di Pulau Pinang. Saya percaya di England tidak ada satu pun papan nama jalan, ditulis dalam bahasa Malaysia, atau pun bahasa Tamil dan Mandarin kecuali mungkin di Chinatown sahaja. Tapi kita juga sedia maklum, yang mana di England itu, mempunyai penduduk berbangsa India yang teramai di luar negara India itu sendiri, dan mereka tidak langsung menyediakan kemudahan seperti di Pulau Pinang. Orang-orang cina berpusu-pusu ke England, juga bergitu hal nya dengan orang Melayu, tapi satu pun tidak ada di sediakan kemudahan yang sedemkian rupa. Tapi, mengapa kita harus berbuat demikian? Tidak cukupkah bahasa universal bahasa inggeris dan bahasa nasional? Mungkin kah ada isu-isu yang tersirat? ini membuat kan buntut saya semakin panas, saya tidak boleh duduk diam, cerita ini mungkin lagi hot dari cerita ayah pin.
Negara ini sudah lama dinakhodakan oleh orang melayu, tetapi pemimpin-pemimpin melayu ini telah lupa, dan mereka telah gagal untuk menjadikan bangsa-bangsa di Malaysia ini sebagai satu bangsa. Tidak akan ada seorang raja yang kekal abadi, bahkan raja-raja mesir yang hebat pun boleh ditumbangkan. Jadi setelah 51 tahun kita merdeka, kerana nakhoda yang sebelum ini telah gagal menyatukan anak kapalnya, akan ada kelompok-kelompok dalam kapal ini. Dan seperti kapal ini, Malaysia terus dengan bangsa-bangsa yang bersifat komunal, tidak bersatu. Hari ini, komunal-komunal dalam kapal ini cuba untuk menukarkan nakhoda yang sudah lama mengemudi ini, tetapi selagi mana nakhoda ini di sokong oleh golongan komunal yang lebih besar jumlahnya, para komunal yang lebih kecil bilangan nya tidak mungkin akan boleh melakukan revolt dan mengambil alih tampuk nakhoda kapal. Oleh itu, secara waras nya bolehlah dikatakan, jika negara ini hendak di perintah oleh bangsa lain, Malaysia harus di nyah melayu kan terlebih dahulu. Dan ini adalah bibit-bibit permulaan proses menyah melayukan Malaysia, apabila kita percaya dengan dogma-dogma yang di mainkan media, maka kita sebenarnya sudah meletakkan diri kita di landasan yang mereka mahu kita tujui. Jangan kita kabur mata, jangan kita tutup minda, negara China adalah kuasa besar dunia, tapi percayalah yang mana warga cina di China, tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris.Kita sebenarnya telah mengulangi sejarah, sejarah yang mana orang melayu dahulu di zaman British berfikir bahawa orang melayu tidak mampu untuk memerintah tanah air mereka sendiri, dan mereka memerlukan tuan British untuk menunjukkan jalan. Hari ini, kita berfikir bahawa tanpa bahasa inggeris, orang melayu tidak akan berjaya. Sebuah penjajahan minda yang sama, cuma di mainkan dari irama lagu yang berlainan. Saya tidak menentang pembelajaran bahasa inggeris, tetapi janganlah kita jadi lebih inggeris daripada orang inggeris(harap anda faham dengan maksud tersirat saya), kerana lanun-lanun di teluk Aden sedang menanti dan memerhati pergerakan kapal kita. Jika kita salah kemudi, kita akan kemudikan kapal kita ke laluan yang di ingini lanun, pada masa itu, hanya tuhan yang Esa sahaja yang boleh menyelamatkan kapal kita dari di nakhodakan oleh lanun Somalia.
No comments:
Post a Comment